TENGKU Nura Najihah (kiri) dari Kampung Tok Jembal bersama Mohd Salleh (dua dari kiri) bersama pokok anggur isabella dari South Carolina, Amerika Syarikat. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


USAHA gigih seorang lelaki melakukan kajian mengenai tanaman anggur selama lima tahun nyata membuahkan hasil selepas berjaya menanam lebih 30 pokok anggur di kawasan rumahnya di Kampung Kelulut di sini.

Ketika ini, Mohd Salleh Angullia Esa, 26, mempunyai 14 jenis pokok anggur seperti black ozark, summer black, everest, isabella dan white malaga dari Amerika Syarikat, Perancis, Brazil, Russia dan Ukraine yang ditanam sejak 2015.

“Saya tidak belajar secara formal tetapi banyak melakukan rujukan sama ada melalui pembacaan atau secara dalam talian termasuk YouTube.

“Minat menjadi dorongan utama saya selain mahu mencipta kelainan dan membuktikan dakwaan pokok anggur hanya boleh hidup di kawasan bersuhu sejuk tidak benar.

“Sebelum menanam tanaman ini, saya terlebih dahulu menanam pokok strawberi dan berjaya mengeluarkan hasil setanding dengan keluaran dari Cameron Highlands,” katanya.

Mohd Salleh berkata, faktor cerewet dan pokok yang manja menyebabkan dia berhenti menanam strawberi dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanaman anggur.

“Pada peringkat awal, saya mengalami kerugian dan kegagalan teruk kerana kaedah yang diguna pakai silap selain benih anggur kurang berkualiti.

“Bagaimanapun, melalui pengalaman itu saya belajar selain tidak berputus asa dan meneruskan usaha itu termasuk membawa masuk benih anggur dari luar negara yang lebih berkualiti.


MOHD Salleh melihat pokok anggur jenis black ozark dari Rusia yang paling digemari ramai. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

“Alhamdullilah, usaha itu kian membuahkan hasil apabila lima pokok terawal kini mengeluarkan hasil setiap Mei dan Jun pada setiap tahun,” katanya.

Katanya, biarpun terpaksa berbelanja lebih bagi mengusahakan tanaman termasuk proses membaja namun ia berbaloi dengan hasil diperoleh.

“Sejak tanaman itu mengeluarkan hasil, saya tidak pernah menjualnya dan ia dipetik untuk dimakan sendiri selain meraikan tetamu dan orang ramai yang berkunjung.

“Selepas ia tular di media sosial, ramai pengunjung dari seluruh negeri datang ke rumah untuk melihatnya sendiri dan saya tidak kisah berkongsi ilmu serta pengalaman dengan mereka.

“Berdasarkan kajian, anggur sangat sesuai ditanam di kawasan bercuaca panas seperti negara ini kerana ia membuatkan buah yang dihasilkan lebih manis berbanding buah dikeluarkan di kawasan bersuhu sejuk cuma saiznya kecil,” katanya.

Sementara itu, pengunjung, Tengku Nura Najihah Tengku Adnan, 25, berkata, dia teruja apabila melihat pokok anggur dan strawberi mampu hidup subur dan mengeluarkan hasil di Terengganu.

“Berbaloi kerana dapat melihat dan menikmati anggur segar yang baru dipetik daripada pokok walaupun terpaksa memandu sejauh 40 kilometer ke sini,” katanya yang menggemari anggur black ozark.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 6:30 AM