HAFRIZAN menunjukkan koleksi topi Mickey Mouse miliknya. FOTO Faiz Anuar
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


HAFRIZAN Md Hashim, 37, membelanjakan lebih RM50,000 sejak enam tahun lalu untuk membeli barangan berkaitan watak kartun kesayangannya, Mickey Mouse.

Dia yang memiliki lebih 500 koleksi Mickey Mouse menyimpan barangan berharga berkenaan dalam bilik khas di kediamannya di Telok Panglima Garang, Selangor.

“Koleksi kesayangan saya pula membabitkan 22 pasang kasut Mickey Mouse pelbagai bentuk dan corak.

“Paling saya sayang kasut Adidas Jeremy Scott Mickey Mouse yang saya beli lima tahun lalu menerusi atas talian pada harga RM200.


KOLEKSI kemeja-T watak Disney kegemaran Hafrizan. FOTO Faiz Anuar

“Kini, harga kasut berkenaan mencecah RM2,500 kerana keunikannya selain sukar ditemui,” katanya.

Menurut Hafrizan, dia juga memiliki baju- T Mickey Mouse keluaran 1980-an berwarna merah yang dibeli pada harga RM500 namun kini harganya mencecah RM2,000.

“Kebanyakan koleksi saya barangan terpakai. Saya sanggup menghabiskan masa yang lama di kedai bundle untuk mencari dan membeli baju Mickey Mouse.

“Saya tidak sukar untuk mendapatkan barangan Mickey Mouse yang unik dan sukar ditemui kerana sering dibantu peniaga bundle apabila mereka ke luar negara untuk mendapatkan bekalan pakaian terpakai,” katanya.


PELBAGAI koleksi barangan Mickey Mouse termasuk cadar. FOTO Faiz Anuar

Berkongsi lanjut mengenai hobinya, Hafrizan berkata, ia timbul rentetan sikapnya yang suka memakaikan dua anaknya dengan pakaian Mickey Mouse.

Katanya, sejak itu, dia kerap mengunjungi kedai pakaian terpakai untuk mendapatkan koleksi kartun berkenaan.

“Tahun ini, saya dan keluarga membuat kelainan dan sepakat memilih tema Mickey Mouse untuk pakaian Aidilfitri.

“Kain baju ini saya tempah khas dari Indonesia untuk dijadikan baju kurung dan Melayu,” katanya.

Hafrizan berkata, hobi ini bukan untuk berseronok semata-mata malah ia boleh menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan sampingan kerana harga barangan vintage itu sentiasa meningkat.


HAFRIZAN menunjukkan koleksi kesayangan iaitu kasut Adidas Jeremy Scott Mickey Mouse. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 6:00 AM