Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my


MOMOKAN ‘kejayaan’ rakan senegara hingga ada antara mereka meraih gelaran datuk di Malaysia menjadi tarikan utama gadis Bangladesh merantau ke negara ini sebelum menjadi mangsa eksploitasi seks.

Kebanyakan mereka yang mahu membantu keluarga keluar dari kepompong kemiskinan dijanjikan pekerjaan seperti pejabat, tukang cuci, pembantu rumah dan sebagainya kononnya mampu meraih pendapatan lumayan.

Malangnya, sebaik tiba di Malaysia impian itu bertukar igauan ngeri apabila mereka terperangkap dalam sindiket pelacuran didalangi tiga lelaki Bangladesh sendiri.


ANTARA wanita yang ditahan pihak berkuasa.

Zinia, 26, yang menangis ketika diselamatkan dalam operasi khas Bahagian Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman bersama Skuad Khas Harian Metro semalam berkata, dia bekerja sebagai tukang jahit di sebuah kilang tekstil di negaranya sebelum tiba di negara ini setahun lalu.

“Saya tertarik datang ke Malaysia selepas ejen menjanjikan tawaran kerja bergaji lumayan dan boleh jadi kaya.

“Niat saya mahu membantu keluarga tidak sangka tiba di sini saya ditipu ejen apabila perlu menjadi pelacur,” katanya.

Menurutnya, dia tidak rela melakukan pekerjaan itu, namun terpaksa demi melangsaikan hutang dengan ejen yang menguruskan kemasukannya ke Malaysia.


WANITA dipaksa jadi pelacur luah perasaan kepada wartawan Harian Metro.

“Setiap hari saya perlu melayan macam-macam jenis lelaki dari pelbagai negara terutama Bangladesh selain Pakistan, India, Indonesia dan Nepal.

“Setiap pelanggan membayar saya RM40 untuk lima minit saja layanan, jika mereka ingin lebih, caj tambahan dikenakan penjaga premis ini.

“Saya terpaksa buat kerja ini kerana tidak mahu keluarga di kampung mendapat susah termasuk ancaman daripada ejen. Tambahan pula saya perlu melangsaikan hutang ejen,” katanya.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, mereka diberikan penginapan dan makanan percuma, namun perlu mematuhi syarat perjanjian ditetapkan ejen.

“Kami boleh tinggal di sini dan makan secara percuma, tetapi syaratnya setiap wang diterima daripada pelanggan perlu diserahkan kepada ‘tauke’.

“Saya tiada pilihan...hendak lari pasport pula dipegang mereka,” katanya yang terputus hubungan dengan keluarganya di kampung halaman.

Shum, 35, berkata, dia dibawa seorang kenalan sebelum ditinggalkan di hotel berkenaan sejak tiga bulan lalu.

“Sudah tiga bulan saya dilacurkan sini. Setiap hari saya bekerja dari jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang.

“Saya dijanjikan kerja pejabat, tetapi kawan saya itu tinggalkan saya di sini sebelum dipaksa melakukan kerja ini.

“Saya tidak suka kerja ini, tetapi tiada pilihan kerana tidak tahu mana nak cari wang,” katanya.

Sementara itu, Jemia, 22, pula mendedahkan, dia dijanjikan kerja sebagai tukang jahit, tetapi ditinggalkan di sini dan pasport juga dipegang ejen.

Jalan Silang bagaikan Kandapara

“Kawan beritahu tempat ini untuk cari perempuan Bangladesh.”

Itu pengakuan lelaki Bangladesh yang melanggan pelacur senegaranya di premis pelacuran Jalan Hang Lekiu off Jalan Silang di ibu negara.

Kawasan sekitar Jalan Silang dikesan dijadikan seperti daerah Kandapara iaitu destinasi pelacuran terkenal di Bangladesh.

Pelanggan mahu dikenali sebagai Azid berusia lewat 30-an bekerja sebagai buruh binaan itu antara ditahan dalam operasi khas Op Kotaraya dilakukan Bukit Aman dari Bahagian Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3).

Mengakui sudah beristeri dan memiliki dua anak, dia baru sahaja menjadi pelanggan pelacur senegaranya selepas diberitahu rakan.

Dia tunduk dan ketakutan menggelengkan kepala apabila digertak kemungkinan nanti perbuatannya diketahui isteri dan anak yang ditinggalkan di negara asal.

Terdahulu, seorang wanita Bangladesh yang mendakwa dieksploitasi sebagai pelacur sanggup terjun dari tingkat satu premis diserbu itu.

Tindakan gilanya itu membawa padah apabila cedera di kaki sehingga terhencot-hencot kesakitan.

Tinjauan wartawan dan jurugambar Skuad Khas Harian Metro mendapati serbuan berkenaan menarik perhatian ratusan warga Bangladesh berkerumun di kiri kanan jalan ketika polis membawa masuk tahanan dan wanita yang diselamatkan ke dalam lori polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 4:30 AM