HAZIQ Abdullah. FOTO Arkib NSTP
Azzman Abdul Jamal
am@hmetro.com.my


KEPUTUSAN memecat Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMM) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, selepas membuat pengakuan terbuka mengenai skandal video seks yang cuba dikaitkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, baru-baru ini, sepatutnya dibuat lebih awal.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan memecat Haziq Abdullah adalah tindakan tepat.

“Ia adalah tindakan wajar, tetapi saya (rasa) ralat sedikit. Sepatutnya dia (Haziq Abdullah) dipecat lebih awal.

“Saya berharap sekiranya ada kes seumpama ini pada masa akan datang, tindakan yang tangkas dan cepat dapat diambil oleh parti supaya spekulasi dan penyebaran maklumat dapat dihentikan secepat mungkin.

“Kalau tidak dihentikan, nanti rakyat tiada kerja lain selain membaca cerita seperti ini. Macam mana hendak bangunkan negara? Kita perlu hentikan budaya seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media sesi ‘Town Hall’ Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Port Dickson, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Mohd Nazri Md Shariff dan Pengerusi PR1MA, Tan Sri Eddy Chen Lok Loi.


ZURAIDA ketika sidang media selepas sesi ‘Town Hall’ PR1MA di Port Dickson. Turut kelihatan, Mohd Nazri (kanan) dan Eddy Chen (kiri). FOTO Adzlan Sidek

Media hari ini melaporkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemecatan Haziq Abdullah yang juga bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin daripada PKR berkuat kuasa serta-merta atas kesalahan melanggar kod tata etika parti.

Keputusan itu dibuat Biro Politik PKR yang diketuai Anwar, selepas menerima syor dibentangkan Lembaga Disiplin parti selepas mendapati Haziq Abdullah mencemarkan dan berniat merosakkan nama parti.

Pada 19 Jun lalu, Zuraida turut menyelar kepimpinan parti yang kurang bijak dengan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Haziq Abdullah.

Ditanya mengenai kesan kontroversi itu terhadap PKR, Zuraida berkata perkara itu tidak mencemarkan nama baik parti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 2:52 PM