PELAJAR Sekolah Menengah Rendah Islam At-Tahfiz memakai penutup hidung dan mulut ketika sesi pembelajaran sebagai langkah pencegahan berikutan pencemaran udara di sekitar Pasir Gudang. FOTO arkib NSTP
Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my


“SAYA akan ke Pasir Gudang setiap minggu dan harap boleh pergi bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang untuk memastikan kerja boleh dilakukan,” kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin.

Katanya, satu operasi bersepadu akan dijalankan bersama beberapa agensi untuk menutup kilang haram di Pasir Gudang berdasarkan maklumat daripada pelbagai pihak.

Katanya, Kerajaan Persekutuan bersama dengan kerajaan negeri juga sudah merangka enam tindakan segera seperti memperkasakan pemantauan kualiti udara di Pasir Gudang.

“Ia dilaksanakan dengan mewujudkan Stesen Pengawasan Gas Pencemar Toksik Automatik, pembelian alat pengukuran gas toksik bergerak seperti GASMET dan membangunkan sistem bagi menganalisis dan menentukan kualiti udara di kawasan perindustrian terbabit," katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, memandangkan Pasir Gudang menjadi hub industri terpenting di Johor, Jabatan Alam Sekitar Cawangan Pasir Gudang juga akan diwujudkan bagi meningkatkan kawal selia dan penguatkuasaan di kawasan itu.

Katanya, kementeriannya melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mewajibkan beberapa tindakan pematuhan baru kepada premis industri di Pasir Gudang yang antara lain menetapkan agar premis industri memasang alat pemantauan pelepasan secara berterusan (CEMS).

"MESTECC akan mengadakan program sekolah angkat oleh industri terutamanya sekolah berisiko tinggi yang dekat dengan kilang, di mana kemudahan seperti pengesan gas dan pembersih udara dibekalkan pihak industri kepada sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 12:15 PM