PERKAMPUNGAN Orang Asli Suku Batek, di Kampung Kuala Koh. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


POLIS Kelantan berharap penduduk yang menggunakan kawasan Kuala Koh, Gua Musang supaya bersabar kerana lokasi itu masih tidak boleh dilalui dan diklasifikasikan sebagai kawasan zon merah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, untuk menjaga dan memantau kawasan itu, pihaknya meletakkan 30 anggota termasuk pegawai dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa.

Katanya, mereka akan bertugas secara bergilir-gilir dalam tempoh 24 jam sehari bagi memantau laluan.

“Kita meletakkan pegawai dan anggota PGA 8 kerana tidak mahu orang ramai atau penduduk masuk ke kawasan zon merah.

“Ada beberapa pihak yang minta mahu masuk ke Kuala Koh tetapi kita tidak benarkan kerana lokasi itu dianggap masih bahaya.

“Kita harap penduduk yang menggunakan laluan itu supaya bersabar sehingga lokasi itu diisytihar selamat. Ia bergantung kepada Kementerian Kesihatan,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, jika ada pihak yang ‘curi-curi’ masuk dan terkena kuman demam campak, ia adalah tanggungjawab sendiri.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, kejadian lebih sebulan lalu, seramai 15 Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, meninggal dunia akibat demam campak dan jangkitan kuman di saluran pernafasan serta 112 individu menerima rawatan di klinik berhampiran.

Pada perkembangan yang lain, Hasanuddin berkata, anggota polis yang dijangkiti cacar air selepas menyertai Op Batek masih dirawat di Hospital Gua Musang (HGM).

Katanya, setakat ini anggota polis berkenaan semakin pulih dan dipantau pihak hospital.

“Anggota berkenaan dimasukkan ke HGM sejak 26 Jun lalu selepas selesai bertugas di Kuala Koh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 12:06 PM