KOLAM ternakan udang di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau dikhuatiri mencemarkan alam sekitar. FOTO ihsan CAP
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perikanan menyiasat masalah saliran cetek akibat sisa buangan kolam ternakan udang di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau.

Masalah yang berlaku sejak lebih 10 tahun lalu itu dibimbangi boleh mencemarkan alam sekitar dan kawasan perikanan selain banjir kilat jika tidak ditangani segera.

Pemangku Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan mereka mendapati selain mendapan lumpur yang menyebabkan saliran sepanjang satu kilometer itu tertimbus, sisa buangan kolam ternakan udang itu juga mengalir ke laut.

Katanya, dibimbangi kemungkinan sisa buangan berwarna putih dan berbuih di dalam saliran itu mengandungi bahan yang boleh meracuni dan mengancam hidupan laut sekali gus mencemarkan alam sekitar.

“Berpuluh hektar hutan bakau yang menjadi tempat pembiakan hidupan laut turut musnah akibat pelaksanaan projek akuakultur itu.

“Malah CAP menerima aduan daripada nelayan di sini mengenai ikan, udang, ketam dan siput sudah berkurangan dan diancam kepupusan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berharap, pihak berkenaan menyelesaikan masalah itu dengan segera kerana jika dibiarkan, alam sekitar dan kehidupan serta pendapatan 200 nelayan pantai yang bergantung hidup kepada sumber laut di kawasan itu akan terjejas.

“Rumah penduduk berhampiran projek ternakan udang mungkin diancam banjir kilat ketika hujan kerana sistem saliran tidak berfungsi berikutan pengaliran air tersekat dan melimpah di kawasan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 6:30 AM