Beberapa pegawai dari pelbagai agensi dilihat melakukan pemeriksaan terhadap sebuah premis di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang sebelum ini.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


JABATAN Alam Sekitar (JAS) sudah menjalankan penyiasatan terhadap 153 premis industri termasuk mengeluarkan 73 kompaun di bawah bahan buangan terjadual.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, tindakan kompaun dilakukan selepas didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Secara keseluruhan, pemantauan berterusan pihak JAS sudah mengambil tindakan dan penyiasatan terhadap 153 premis industri berbanding 90 premis sebelumnya.

“Sebanyak 73 kompaun membabitkan buangan terjadual iaitu bertambah 21 kompaun, efluen perindustrian sebanyak 10 kompaun.

“Sebanyak 11 notis dikeluarkan membabitkan bilangan notis arahan dan tujuh premis industri bagi perintah tahap operasi,” katanya ketika sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), hari ini.

Menurutnya, JAS bersama-sama pelbagai agensi melakukan operasi bersepadu malam tadi dengan membuat pemeriksaan terhadap 34 kilang.

Katanya, semua premis terbabit menerima notis arahan bagi mematuhi segala perundangan alam sekitar terutama sekali dalam menangani masalah bau dan apa-apa pelepasan gas ke udara.

“Sebanyak enam premis dikenakan kompaun, dua premis dikenakan penahanan operasi dan dua premis dikenakan syor tindakan mahkamah mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Selain itu, menurutnya, sebanyak 18 pasukan ‘Psychological First Aid’ yang dibentuk oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih meneruskan perkhidmatan sokongan psikologi di kawasan sekolah yang terjejas.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 8:56 PM