Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam. Foto Rasul Azli Samad
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


SERAMAI 132 penumpang penerbangan pesawat AirAsia dari Melaka ke Pulau Pinang hari ini, terjejas susulan masalah sistem navigasi di menara kawalan udara Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam.

Pesawat dengan kod penerbangan AK6285 yang sepatutnya membawa 132 penumpang itu dijadualkan berlepas dari lapangan terbang berkenaan pada 2.50 petang tadi.

Susulan pembatalan penerbangan itu, difahamkan AirAsia menyediakan beberapa buah bas untuk membawa penumpang terbabit ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) bagi menaiki pesawat lain ke Pulau Pinang.

Bagaimanapun, terdapat sebahagian penumpang yang sanggup menunggu pesawat lain ke destinasi sama esok.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah merujuk perkara itu kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Kes ini adalah insiden terpencil dan kerajaan negeri sedang bekerjasama rapat dengan CAAM untuk mengenal pasti masalah sebenar,” katanya.

AirAsia memulakan penerbangannya dari Pulau Pinang-Melaka-Pulau Pinang bermula kelmarin, dengan kekerapan satu penerbangan setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 7:44 PM