Pelajar Sekolah Menengah Rendah Islam At-Tahfiz memakai penutup hidung dan mulut ketika sesi pembelajaran. FOTO Adi Safri
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


SERAMAI 38 pelajar sekolah daripada sembilan sekolah di Pasir Gudang mengalami masalah kesihatan, loya dan muntah-muntah selepas terhidu udara tercemar, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, semua pelajar terbabit bagaimanapun dibenarkan pulang sejurus mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pasir Gudang serta Klinik Kesihatan Masai.

Menurutnya, mangsa membabitkan pelajar Sekolah SABK Madrasah Alattas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort dan SMK Desa Jaya.

“Selain itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Kongkong Laut, SK Permas Jaya 4, SK Ulu Tiram, SK Taman Scientex, SK Taman Rinting 3 dan SK Kota Masai,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini.

Menurutnya, bagaimanapun sesi persekolahan masih diteruskan seperti biasa dan dijalankan di aras bawah sekolah memandangkan semua mangsa mengalami simptom berada pada aras tiga dan empat sekolah masing-masing.

Mohd Khuzzan berkata, sehingga 12 tengah hari ini, tiada pesakit baharu dimasukkan ke wad.

“Hanya seorang mangsa saja masih menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan mangsa dalam keadaan stabil,” katanya.

Menurutnya, sebagai langkah keselamatan, pengurusan sekolah diarahkan membuka pintu dan tingkap di aras atas bagi pengaliran udara.

“Pasukan petugas pemantauan kualiti udara masih meneruskan operasi secara serentak di 100 sekolah hari ini,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 7:29 PM