Ali bersama isteri dan anak mereka ditemui di Masjid Fi Sabilillah, Cyberjaya. FOTO Noor Atiqah Sulaiman
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


JARANG kedengaran sekeluarga memeluk Islam tetapi tidak bagi keluarga Ali Junawan Lim, 54, apabila dia memilih bergelar ‘saudara baru’ serentak bersama isteri dan empat anak perempuannya, lima tahun lalu.

Tanpa paksaan untuk memeluk Islam, Ali, isteri serta empat anak perempuannya berkongsi pelbagai kisah unik termasuk saat menerima hidayah Allah SWT.

Ali bersama isteri, Feny Sartati Abdullah, 43, bersama enam anak mereka ditemui pada program Majlis Raya Mualaf anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya hari ini.

Ali berkata, dia terlebih dulu memeluk Islam selepas tertarik dengan amalan, cara hidup dan kesempurnaan yang diterapkan orang Islam khususnya ketika ingin menunaikan solat.

“Ketika itu, saya berada di Lampung, Sumatera Selatan, Indonesia bagi menghadiri majlis pengebumian ayah mentua.

“Saya berada dua bulan di sana dan setiap hari saya melihat anak-anak kecil bersiap-siap dan kelihatan kemas untuk menunaikan solat Maghrib di masjid.

“Kebetulan rumah keluarga isteri berdekatan masjid.

“Dari situ, saya tekad untuk masuk Islam. Saya mengucap dua kalimah syahadah di hadapan ustaz di sana (Indonesia).

“Selepas dua bulan di sana, saya pulang ke Malaysia tanpa isteri dan anak-anak,” katanya yang juga peniaga buah-buahan di Selayang.

Bagi Feny Sartati pula, dia mengakui mengalami mimpi pelik kerana bermimpi melihat suaminya berada di dalam istana indah serta bercahaya di tengah lautan.

“Dalam mimpi itu, suami memanggil saya masuk ke istana itu. Saya anggap ia mimpi biasa namun selepas merujuk kepada ustaz, dia memaklumkan ia mungkin hidayah.

“Saya kemudian pulang ke Malaysia bersama empat anak. Sejurus tiba, saya bersama empat anak peluk Islam manakala suami pula daftar saudara baru di sini,” katanya.

Katanya, dia bersyukur kerana membuat pilihan tepat demi suami dan anak-anak malah percaya hidayah itu milik Allah SWT.

Dalam pada itu katanya, dia juga bersyukur kerana empat anaknya ketika itu turut terbuka hati memeluk Islam tanpa paksaan.

“Ketika kami sekeluarga menetap di Perak, kami berjiran dengan keluarga India muslim. Setiap hari, anak-anak saya puji cara ahli keluarga jiran bertudung malah mereka memasang impian untuk bertudung apabila dewasa.

“Pada masa itu, saya tidak ambil kisah kerana mereka masih kecil namun tidak menyangka ia permulaan untuk kami sekeluarga peluk Islam.

“Selain itu, ketika di sekolah juga, mereka sering hadir kelas Pendidikan Islam dan tertarik dengan amalan yang diamalkan dalam Islam,” katanya yang dulu penganut Kristian.

Ali dan Feny Sartati dikurniakan enam anak iaitu empat orang sebelum memeluk Islam dan dua orang lagi selepas

bergelar saudara baru Islam iaitu Fei Syam Samsinar Lim,15; Fei Syarah Lim, 13; Fei Syarain Lim, 12; Qaisara Yasmin Lim, 9; Lim Pei You, 5 dan Lim Zheng Yang, 2.

Ali berkata, dia dan isteri masih lagi mengikuti kelas agama dan al-Quran malah sering mengikuti pelbagai program dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), JAKIM dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Sementara itu, Feny Sartati berkata, selain dia, ibunya Faridah, 66, turut memeluk Islam selepas tertarik dengan cara hidupnya sekeluarga.

“Ibu saya pernah datang ke Malaysia iaitu pada tahun pertama kami sekeluarga memeluk Islam.

“Dia tertarik dengan aktiviti dan program keagamaan yang saya sekeluarga ikuti di sini. Sebaik pulang ke Indonesia, dia memeluk Islam di sana malah, turut ditaja menunaikan umrah secara percuma oleh jirannya di sana,” katanya.

Terdahulu, program Majlis Raya Mualaf turut dihadiri Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh selain dimeriahkan dengan kehadiran 700 tetamu termasuk saudara baru Islam dan Orang Asli yang bernaung di bawah 40 NGO.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 7:17 PM