CCTV surau merakam aksi lelaki yang mencuri beg jemaah wanita. FOTO Ihsan Surau As-Siddiqin
Iqhram Ahmad
am@hmetro.com.my


BERKAIN pelekat serta berkopiah seolah-olah mahu menunaikan solat Subuh seperti jemaah lain namun mencuri sebaik solat bermula.

Itu taktik lelaki yang mencuri beg bimbit milik pesara wanita apabila jemaah menunaikan solat Subuh di Surau As-Siddiqin, Taman Kundang Jaya, Rawang semalam.

Mangsa Gayah Mamat, 59, sedang menunaikan solat Subuh pada 6 pagi apabila beg berisi kunci kereta Myvi miliknya dicuri lelaki terbabit.

Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lelaki itu memasuki ruang solat wanita dan mengambil kunci kereta wanita itu sebelum membuang beg dicurinya di kawasan stor surau.

Lelaki itu kemudian menuju ke kereta wanita terbabit sebelum kelam kabut melarikan diri menggunakan motosikal Yamaha Y15 apabila penggera kereta berbunyi.

Menurut suami mangsa yang ingin dikenali sebagai Haji Zek, 60-an, beg isterinya itu mengandungi sejadah dan kunci kereta.

“Saya diberitahu jiran terdapat motosikal di hadapan surau.

“Motosikal itu nampak mencurigakan kerana nombor plat kecil di bahagian belakang,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kelab Mengaji Dewasa surau As-Siddiqin, Azizul Ali, 44, berkata, kes kecurian itu bukan kes pertama terjadi di surau itu.

“Sebelum ini, memang terdapat kes kecurian seperti ini. Ada yang pernah cuba mencuri tabung masjid manakala ada mencuri pembesar suara surau.

“CCTV sudah lama dipasang di kawasan surau bagi memudahkan semua pihak jika berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 5:40 PM