HABIBUNEESA dilaporkan hilang di Tamil Nadu, India. FOTO Ihsan PRIM
Rosman Shamsudin
am@hmetro.com.my


SEORANG tukang paip tidak menyangka tindakan membenarkan isterinya pulang melawat keluarga di India selama seminggu bertukar tragedi apabila isterinya dilaporkan hilang dikhuatiri menjadi mangsa culik di negara berkenaan.

Habibuneesa Mohamed Ismail, 36, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama kakaknya, Nur Jihan, serta anak kakaknya berusia empat tahun ke India pada 24 Jun lalu untuk melawat saudara-maranya di Pandaravadai, Panapasam, Tamil Nadu.

Suaminya, Mahmud Rahman Shariff, 47, berkata, lima hari kemudian, Nur Jihan memaklumkan bahawa isterinya hilang dari rumah.

“Nur Jihan dan emak saudaranya menyedari kehilangan isteri saya kira-kira 3 pagi waktu India, 29 Jun lalu, dan turut hilang ialah telefon bimbitnya tetapi pasport dan wang tunai masih ada, ” katanya yang berasal dari Bandar Sri Behrang di Behrang, ketika dihubungi hari ini.

Bimbang dengan keselamatan isterinya, Mahmud Rahman membuat laporan polis mengenai kehilangan isterinya itu di Balai Polis Behrang kelmarin dan berjumpa dengan Presiden Penaja Parti Rakyat India Malaysia (PRIM), Dr S Santhasekaran untuk membantu mencari isterinya.

Mahmud Rahman kemudian dibantu oleh Dr Santharasekaran pergi ke Wisma Putra di Putrajaya hari ini untuk meminta kerajaan Malaysia menghubungi kerajaan India bagi membantu mencari Habibuneesa.

“Ahli keluarga di India memaklumkan sebelum kejadian ada seorang lelaki tidak dikenali merayau di kawasan tempat tinggal isterinya yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) menyebabkan mereka mensyaki isteri saya mungkin menjadi mangsa penculikan.

“Sehingga hari ini saya belum menerima sebarang berita dari saudara isteri di India yang difahamkan turut membuat laporan polis di Balai Polis Panapasam.

“Saya bimbang dan tidak dapat tidur memikirkan keselamatan isteri di India kerana ini kali pertama isteri pulang ke sana untuk melawat saudara-mara sebelah bapanya,” katanya.

Menurutnya, Wisma Putra sudah menerima laporan kehilangan isterinya hari ini dan meminta tempoh selama dua hari untuk menghubungi kerajaan India bagi membantu mencari dan mengesan Habibuneesa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof, mengesahkan pihak polis sudah menerima laporan kehilangan seorang wanita di India.

Menurutnya, setakat ini polis belum menerima apa-apa maklumat lanjut berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 4:03 PM