OPERASI mengeluarkan mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


LELAKI dan wanita terperangkap lebih 30 minit dalam lif yang tersangkut di tingkat bawah tanah stesen kereta api di Kuala Kangsar, hari ini, sebelum diselamatkan bomba.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa, polis bantuan berusia 20-an dan pekerja pembersihan wanita berusia 40-an terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.12 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba maklumat diperoleh terdapat dua mangsa terperangkap dalam lif di bangunan dua tingkat itu.

“Mangsa tidak dapat dikeluarkan melalui pintu lif kerana lif berkenaan tersangkut di tingkat bawah tanah yang tiada laluan untuk keluar membuatkan bomba terpaksa mengeluarkan mangsa daripada atas lif berkenaan.

“Bantuan awal diberikan dengan membuka ruang pengudaraan di bahagian atas bagi membolehkan mangsa bernafas sebelum anggota dan pekerja teknikal lif turun untuk membuka ruangan atas lif berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Taufiq berkata, kedua-dua mangsa kemudiannya dikeluarkan dari bahagian atas dengan menggunakan tali dan ditarik naik ke atas selepas lebih 30 minit terperangkap.

Katanya, operasi menyelamat itu tamat 11.40 pagi dan lif berkenaan tidak dapat digunakan buat masa ini disebabkan perlu diselenggara terlebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 2:10 PM