Haziq (kiri) dibebaskan dengan jaminan polis di IPD Dang Wangi hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi
Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my


NASIB Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong , Haziq Abdullah Abdul Aziz akan ditentukan apabila Biro Politik PKR bermesyuarat, petang ini.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biro itu akan dimaklumkan berkaitan status Haziq oleh Jawatankuasa Disiplin parti selepas tempoh 14 hari menjawab surat tunjuk sebab tamat hari ini.

“Jawatankuasa disiplin akan maklumkan kepada kami, semestinya penjelasan diberikan kepada Jawatankuasa Disiplin, bukan kepada saya dalam mesyuarat mingguan Biro Politik,” katanya kepada media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama itu mendakwa mempunyai hubungan dengan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diberikan notis 14 hari menjelaskan kenyataannya itu kepada jawatankuasa disiplin parti pada 19 Jun.

Ia berikutan dakwaannya itu dikatakan menjejaskan imej parti.

Pada 12 Jun, Haziq mengakui dirinya terbabit dengan Mohamed Azmin dalam rakaman video hubungan seks sejenis yang tular.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bagaimanapun menafikan pembabitannya dalam video itu.

Berikutan itu, ada pemimpin PKR bertelagah meminta parti memecat Haziq.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 12:48 PM