(Dari kiri) Ahmad, Shahidan, Bung Mokhtar dan Ahmad Amzad. FOTO Arkib NSTP
Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my


“MENTERI malam ni kita pi Petaling Street,” sindir Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Cap Dagangan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Shahidan menghangatkan perbahasan itu apabila Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyentuh mengenai beberapa lokasi di negara ini yang terkenal dengan penjualan barangan tiruan.

Perbahasan itu ditimbulkan selepas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua, hari ini.

Turut mencelah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN - Kinabatangan) dan Ahmad Amzad Mohamad (PAS - Kuala Terengganu) yang memberikan pendapat mereka berhubung isu itu, terutama membabitkan penjualan barangan tiruan dalam negara, terutama di lokasi tumpuan pelancong.

Shahidan (BN-Arau): Minta penjelasan Pontian.

Ahmad (BN-Pontian): Ya, ‘harumanis’.

Shahidan: Dua minit, seminit. Yang Berhormat, sekarang saya timbul sifat kemarahan yang luar biasa kepada diri saya bila Kinabatangan dan Yang Berhormat menceritakan barang tiruan di beberapa tempat.

Yang Berhormat, ini parlimen, tempat kita berbincang. Ceritakan mana tempat yang ada barang tiruan. Lain kali saya tak payah pergi, mungkin saya pun tertipu juga, katakan orang kampung pi tempat ni tempat yang ada jenama, tengok-tengok tiruan.

Di Malaysia ni kita tahu ni tiruan, kalau ada orang asing, lagi banyak barang tiruan, ni barang Afrika, kita ada cop (cap), ni tiruan daripada Bangladesh, China, Indonesia.

Jadi saya nak bagi tahu Yang Berhormat di mana tempat lambakan barang tiruan. Kalau tidak kita cakap di awangan, orang tak tahu. Saya percaya dalam Youtube, ini akan dipamerkan, yang saya minta namakan tempat yang dikatakan ada barangan tiruan.

Ahmad: Ya, terima kasih Yang Berhormat Arau. Saya baru dibisik oleh Kinabatangan, beliau menyebut Petaling Street, Chow Kit, pasar malam di seluruh negara.

Saya harap perkara itu diambil tindakan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Shahidan: Penjelasan sekali lagi. Sikit ja. Yang Berhormat, kelmarin saya ada sebut bahawa menteri silap cakap, saham jatuh.

Jadi Yang Berhormat berhati-hati bercakap hari ini sebab dia menyebabkan pasaran jatuh di tempat-tempat ini dan orang takut pi pasar malam.

Yang Berhormat cerita yang sebenarnya ini tempatnya atau ini cuma sikit saja. Sebab kalau tidak, saya sebagai peminat pasar malam nombor satu akan tidak pergi, kawan-kawan saya pun tak pergi.

Jadi Yang Berhormat bagitahu, tempat utama ini apakah pasar malam, saya rasa bukan pasar malam, pasar malam barang ‘gitu-gitu’ aja tapi menjadi tumpuan dunia, bukan saja Malaysia tapi dunia datang beli barang di situ.

Ahmad Amzad: Pontian, saya setuju dengan Arau.

Ahmad: Saya nak bercerita banyak lagi, global brand database...

Ahmad Amzad: Setengahnya bukan membabitkan orang tempatan, warga asing. Saya berjalan dekat Bukit Bintang ni , dia warga asing yang menjual barang-barang tiruan dan jumlahnya banyak dan saya tak tahu bagaimana pandangan pelancong yang datang ke pusat-pusat tumpuan. Jadi Malaysia seolah-olah hub barangan tiruan.

Ahmad: Betullah tu, jadi saya minta Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan pun ada ni, buat bersama Timbalan Menteri KPDNHEP, buat rondaan khususnya jenama ‘cap ayam’ ini.

Bung Moktar: Cap ayam.

Shahidan (BN-Arau): Menteri malam ni kita pi Petaling Street.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 7:58 PM