Mohd Khuzzan (empat dari kiri) ketika sidang media perkembangan terkini situasi pencemaran udara di Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

LAPAN belas lagi premis perindustrian di sekitar Pasir Gudang dikenakan tindakan kompaun, notis arahan dan perintah tahan operasi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, jumlah itu menjadikan semua premis yang dikenakan tindakan 90 berbanding 72 sebelum ini.

“Pemantauan terkini, JAS mengambil tindakan penjejakan dan penyiasatan kepada 90 premis industri bagi kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Ini membabitkan tambahan 21 kompaun menjadikan 61 kompaun bagi kesalahan buangan terjadual, 10 kompaun efluen perindustrian, empat notis arahan dan enam perintah tahan operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini.

Ditanya perkembangan jumlah mereka yang terjejas dalam insiden gangguan kesihatan di Pasir Gudang, Mohd Khuzzan berkata, sehingga 8 pagi semalam, tiada pesakit baru dimasukkan ke wad.

“Tiga orang sudah dikeluarkan dari wad dan jumlah ini menjadikan keseluruhan mangsa yang berada di wad hanya seorang dan dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau berkata, 18 pasukan bantuan awal psikologi yang dibentuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih meneruskan perkhidmatan sokongan psikologi di sekolah yang terjejas.

“Sekolah juga diarahkan membuka pintu dan tingkap pada aras atas bagi tujuan pengaliran udara serta pasukan petugas pemantauan kualiti udara masih meneruskan operasi,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 5:56 PM