Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


PERJALANAN dua beradik untuk beriadah ke Johor berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 220 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur keluar Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah, hari ini.

Dalam kejadian 6.45 pagi itu, mangsa, Rahim Shafie, 66, yang menunggang motosikal dan pemandu lori, Zainal Jasman, 28, maut di lokasi kejadian.

Difahamkan ketika kejadian, Rahim menunggang secara berasingan bersama adiknya berusia 60-an sebelum terlanggar objek dipercayai besi dan terjatuh di lokasi kejadian, bagaimanapun adiknya terselamat.

Anak mangsa, Adi Putra Rahim, 36, berkata dia tidak menyangka kedatangan bapa ke rumahnya di Kampung Kundang, Kuala Langat, Selangor malam tadi untuk meminjam motosikal adalah pertemuan terakhir mereka.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan bapanya menunggang motosikal Honda Dash miliknya jika mahu keluar berjalan-jalan bersama bapa saudaranya itu.

“Kira-kira 11.15 malam tadi ayah datang ke rumah untuk mengambil motosikal. Dia kelihatan seperti biasa, tiada perubahan.

“Kami sempat berborak, saya sempat menasihatinya supaya berhati-hati sepanjang perjalanan sebelum dia bertolak ke rumah bapa saudara di Kajang, Selangor,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah, hari ini.


HASAN Basri melihat keadaan lori yang terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan dan menyebabkan dua mangsa meninggal dunia, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.

Menurutnya, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada bapa saudaranya memaklumkan bapanya terbabit kemalangan.

Katanya, sebelum ini bapanya ayah kerap keluar dengan menunggang motosikal bersama bapa saudaranya, tetapi tidak sangka kali ini kesudahannya berbeza.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya, berkata semua kenderaan terbabit iaitu treler, motosikal, lori dan kereta Proton Inspira dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Rahim yang menunggang motosikal terlanggar objek di atas jalan lalu terjatuh di lorong kiri sebelum dilanggar sebuah kenderaan tidak dikenal pasti.

“Manakala Zainal yang memandu lori perkhidmatan penghantaran barang terlanggar treler berhenti dipandu lelaki berusia 28 tahun.

“Akibatnya, Zainal tersepit di tempat duduk pemandu dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.

Hasan Basri berkata, semua kenderaan terbabit kini ditahan dan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 5:36 PM