KETUA Polis Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip (dua dari kanan) bersama pasukan SAR membawa naik jenazah Muhammad Faqih Mohd Fairuz di jeti ditebing Sungai Muar. FOTO Ihsan PDRM
Badrul Kamal Zakaria
badrulkamal@bh.com.my


PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat seorang daripada dua beranak yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Muar, Muar, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, Muhammad Faqih Mohd Fairuz, 7, ditemui pasukan SAR di kawasan kuala Sungai Muar berhampiran Marina Bay.

Katanya, mayat kanak-kanak itu ditemui pada jarak satu kilometer daripada lokasi kejadian pada 2.40 petang tadi.

Dalam kejadian 6.30 petang semalam, seorang anggota polis bersama anak lelakinya berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Muar.

Dalam kejadian itu, mangsa yang dikenali sebagai Lans Koperal Mohd Fairuz Mohd Hashim, 36, dilaporkan terjun ke sungai berkenaan bagi menyelamatkan anaknya, Muhammad Faqih yang terjatuh ke sungai ketika bermain di jeti di tepi sungai berkenaan.

Mangsa bersama tiga lagi anaknya dipercayai ke lokasi kejadian untuk menghantar bungkusan makanan kepada rakannya yang bertugas di kawasan berhampiran manakala ketiga-tiga anaknya bermain di tepi sungai, sebelum Muhammad Faqih tiba-tiba dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

Mangsa kemudian dipercayai terjun ke sungai untuk menyelamatkan anaknya, namun dia turut hilang akibat keadaan arus sungai yang agak deras

Berita berkaitan

Ayah, anak dikhuatiri lemas

Operasi SAR dua beranak lemas diteruskan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 4:16 PM