FOTO Hiasan
Badrul Kamal Zakaria
am@hmetro.com.my


TIGA sahabat dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Muar, hari ini, atas tuduhan menculik seorang doktor perubatan wanita empat tahun lalu.

Hakim Datuk Halijah Abbas membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

“Selepas saya mendengar dan meneliti keterangan saksi dan meneliti kesemua ekshibit yang dikemukakan. Saya meneliti dan mendengar hujahan bertulis dan hujahan lisan daripada semua pihak.

“Pada tahap penilaian yang maksimum, saya akui pihak pendakwaan sudah tidak dapat membuktikan satu kes prima facie bagi pertuduhan terhadap semua tertuduh.

“Dengan itu, saya lepas dan bebaskan semua tertuduh dari pertuduhan. Semua ekshibit yang ada pada pihak pendakwaan perlu dilupuskan,” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, M Prem Seegar, 37; P Reymon Raj, 25 dan T Sanjiv Kumar, 24, didakwa meneruskan niat bersama mendapatkan wang tebusan, menahan dengan cara melarikan secara salah M Anita, 29.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada 10 malam, 6 Mei 2015.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi, manakala tertuduh pertama diwakili peguam bela G Subramaniam Nair.

Tertuduh kedua pula diwakili peguam bela Haresh Mahadevan, sementara Hishamudin A Aziz mewakili tertuduh ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 12:55 PM