Pokok hiasan di Sky Tropolis Park terbakar hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


PENGUNJUNG di kawasan peranginan Genting Highlands cemas seketika apabila pokok hiasan di Sky Tropolis Park terbakar hari ini.

Kejadian 6 petang itu tidak mengakibatkan kemalangan jiwa.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.13 petang sebelum lapan anggota bersama jentera bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba kita dapati kebakaran berlaku di ruang tangga koridor pejalan kaki antara Hotel First World dan taman tema.

“Kebakaran membabitkan landskap yang menempatkan hiasan pokok bunga plastik sebelum merebak ke bahagian bangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pihaknya memadamkan api menggunakan satu aliran ‘hose reel’ dan tujuh unit alat pemadam api jenis debu kering.

“Kebakaran itu memusnahkan kira-kira 10 peratus landskap terbabit.

“Kita masih lagi menyiasat punca kejadian serta jumlah kerugian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 8:22 PM