Yeo Bee Yin (kiri) mengadakan pertemuan dengan pengusaha industri berikutan pencemaran udara yang masih berlaku di Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


SEMUA 111 sekolah di Pasir Gudang akan dibekalkan dengan alat pengesan gas bagi membolehkan bacaan kualiti udara dilakukan secara berterusan.

Alat pengesan itu akan dibekalkan oleh 250 kilang kimia yang beroperasi di kawasan berkenaan.

Itu antara intipati yang dibincangkan dalam pertemuan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dengan semua pengusaha kilang kimia Pasir Gudang di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini.

Yeo berkata, cadangan yang dibincangkan itu sudah pun dipersetujui pengusaha kilang yang mana sebuah atau dua kilang akan menjadikan sebuah sekolah sebagai sekolah angkat mereka.

“Saya sudah berjumpa dengan pihak industri kerana mahu tahu bagaimana kita boleh bersama-sama menangani masalah ini.

“Antara langkah segera yang kita ambil dan sudah dipersetujui menjadikan sekolah angkat kepada satu atau dua kilang dan kilang ini akan membekalkan alat pengesan gas kepada setiap sekolah.

“Ini bagi mengambil bacaan kualiti udara secara berterusan, jadi setiap sekolah akan ada satu alat pengesan gas, guru akan diajar untuk menggunakannya dan data yang diperoleh jika bacaan tinggi, pihak sekolah akan terus menghubungi MPPG atau Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menggunakan alat pengesan gas, Gasmet yang lebih terperinci untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di PKOB hari ini.

Yeo berkata, JAS akan membuat arahan mandatori untuk memastikan kilang membekalkan alat pengesan itu pada masa terdekat.

“Sekarang ini kerajaan sewakan untuk semua, kita ada 85 alat pengesan gas dan esok akan beri baki yang lain supaya semua 111 sekolah ada alat ini.

“Kemudian kilang yang perlu bekalkannya dengan kerajaan memantau secara berterusan sebelum diserahkan kepada sekolah,” katanya.

Selain itu, Yeo berkata, antara persetujuan lain yang dicapai dalam pertemuan itu adalah seruan untuk pengusaha kilang bertanggungjawab atas pengeluaran, pelepasan dan pengendalian sisa bahan kimia mereka.

“Jika tidak, tindakan lebih drastik dan tegas akan diambil. Kita bincang supaya pihak industri dan orang ramai menghubungi JAS atau MPPG jika dapati ada pihak melakukan pencemaran hingga menjejaskan komuniti di Pasir Gudang,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan tiada punca spesifik yang ditemui antara mereka terjejas dengan bacaan kualiti udara, satu analisis beban pencemaran akan dibuat.

“Jika masalah ini adalah kerana beban pencemaran, kita perlu jalankan satu analisis dan kita sudah meminta pihak industri ini memberi data bagi tujuan analisis itu.

“Selepas empat hingga enam minggu, kita akan lihat dapatan analisis ini dan mungkin akan ada syarat atau undang-undang yang lebih ketat daripada sedia ada,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 6:28 PM