MPV polis rosak akibat dirempuh kereta dinaiki suspek ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di Eco Hill, Semenyih, Kajang, awal pagi hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


TINDAKAN empat individu termasuk dua wanita warga asing merempuh kereta Unit Peronda Polis (MPV) dengan kereta mereka ketika cuba melarikan diri di Eco Hill, Semenyih, Kajang, awal pagi hari ini menyebabkan kenderaan itu terbabas.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, ketika kejadian, empat suspek yang menaiki kereta Proton Wira memecut kenderaan mereka sejauh 20 kilometer dari Sungai Long ke Eco Hill, Semenyih selepas terserempak dengan anggota polis MPV yang melakukan rondaan pada 2.30 pagi.

“Sebaik tiba di kawasan Taman Autumn Park, Eco Hill, suspek merempuh MPV polis sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan mengakibatkan pemandu serta penumpang hadapan kereta itu cedera di bahagian tangan dan kaki.

“Pemeriksaan terhadap kenderaan dinaiki suspek menemui pistol angin dan pedang. Ujian saringan air kencing mendapati semua individu berusia 20-an itu positif dadah jenis methamphetamin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Dalam kejadian berasingan, Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki dipercayai terbabit kira-kira 10 kes samun dengan menyamar sebagai anggota polis.

“Suspek berusia awal 20-an itu ditahan orang ramai selepas menyamun seorang warga asing di Bandar Kesuma Beranang, 9.30 malam tadi.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai lapan dan sembilan rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 6:22 PM