Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


POLIS menahan 56 individu termasuk lapan wanita warga China yang terbabit dengan sindiket judi dalam talian antarabangsa dalam serbuan di kondominium di Sungai Long, Kajang, 26 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, hasil maklumat dan risikan dilakukan, pihaknya melakukan serbuan di lokasi terbabit pada 12.30 tengah malam.

“Ketika serbuan dilakukan, kami mendapati sekumpulan lelaki dan wanita warga China sedang menjalankan urus niaga judi dalam talian menggunakan telefon bimbit dan komputer riba.

“Pemeriksaan mendapati semua suspek berusia 18 hingga 56 tahun tiada dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan sah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.


AHMAD Dzaffir (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan komputer riba dan telefon bimbit dirampas dalam serbuan di unit kondominium dijadikan sebagai pusat judi dalam talian antarabangsa di Sungai Long, Kajang, pada 28 Jun lalu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit menjalankan kegiatan judi dalam talian membabitkan rangkaian antarabangsa di Kanada, China dan Hong Kong sejak kira-kira dua bulan lalu.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai meraih kutipan pertaruhan mencecah 500,000 yuan atau RM300,000 setiap hari, manakala pekerja diberi upah RM4,000 hingga RM7,000 sebulan.

“Dalam serbuan itu, kami merampas 30 komputer riba, 45 telefon bimbit dan dua modem Internet digunakan untuk kegiatan terbabit.

“Semua suspek yang ditahan dibawa ke IPD Kajang untuk tindakan lanjut dan direman selama empat hari sebelum permohonan sambung reman akan dilakukan esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) (C),(D) dan (E) Akta Pertaruhan 1953,” katanya yang sedang mengenal pasti pemilik kondominium berkenaan untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 5:59 PM