LAPORAN sebelum ini.
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


IDENTITI lelaki maut dihempap bongkah batu di kawasan kuari di Mukim Sungai Raya, Keramat Pulai, Ipoh hari ini dikenal pasti Loi Thiam Fatt, 56.

Mangsa bekerja sebagai pemandu jengkaut dihempap bongkah batu yang jatuh dari kawasan berbukit ketika melakukan kerja membersihkan letupan kuari.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati kerja meletupkan kuari itu dijalankan Khamis lalu dan mangsa menjalankan kerja membersihkan batu kuari yang dipecahkan.

Katanya, mangsa melakukan kerja itu sejak 7 pagi hari ini, menggunakan jengkaut untuk dimuatkan ke dalam lori, sebelum secara tiba-tiba seketul batu besar dari atas bukit jatuh.

“Siasatan mendapati mangsa sudah mengisi muatan batu kuari ke dalam dua lori untuk dibawa keluar, (dan) ketika mangsa sedang menolak lagi batu, tiba-tiba batu besar kuari dari atas bukit jatuh dan terus menghempap serta menimbus jengkaut.

“Mangsa disahkan maut di lokasi selepas kerja mengeluarkan batu kuari itu dijalankan bomba,” katanya hari ini.

Mohd Ali berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, difahamkan sudah bekerja di syarikat kuari itu selama tiga tahun dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai pemandu jengkaut.

“Pemilik kuari mempunyai lesen dari Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG) Perak untuk skim kuari dan kebenaran kerja letupan serta lesen menggunakan bahan letupan dari Bahagian Pelesenan IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Perak.

“Operasi menyelamat dijalankan tiga pegawai dan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, enam anggota Balai Polis Simpang Pulai dan pekerja kuari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Khairul Jamil berkata, pihaknya menerima panggilan 9.47 pagi dan bergegas ke lokasi untuk menjalankan kerja mengeluarkan mangsa.

“Mangsa berada di bawah runtuhan batu besar dan bomba menghadapi sedikit kesukaran kerana jentera tidak dapat memasuki kawasan itu kerana bentuk muka buminya.

“Namun dengan bantuan pengurusan kuari, mayat mangsa berjaya dibawa keluar sebelum operasi ditamatkan 12.05 tengah hari,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Berita berkaitan

Lelaki maut dihempap batu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 5:23 PM