GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.
BERNAMA

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung dua daripada lapan urus niaga meragukan seperti yang terkandung dalam laporan Kertas Putih Felda.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, dua kes itu membabitkan pembelian saham syarikat peladangan Indonesia Eagle High Plantation dan projek pembangunan Kuala Lumpur Vertical City.

“Sebagai kerajaan yang menekankan pemerintahan mengikut undang-undang, adalah wajar pihak berkuasa diberi ruang bagi melengkapkan siasatan bagi memastikan proses perundangan berjalan berdasarkan rule of law,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan asal Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang ingin tahu tindakan kerajaan dan jumlah kes yang telah dibawa ke mahkamah susulan pembentangan Kertas Putih yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada April lalu.

Dr Mohd Radzi berkata, tindakan susulan dalam masa terdekat juga akan diambil terhadap baki enam lagi pembelian dan pelaburan yang dibentangkan dalam Kertas Putih berkenaan.

“Walaupun hanya lapan urus niaga diberikan fokus dalam Kertas Putih, ia tidak bermakna Felda mengabaikan mana-mana pembelian atau pelaburan lain yang meragukan,” katanya.

Pada 10 April lalu Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membentangkan Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)’ di Dewan Rakyat yang menjelaskan mengenai isu dihadapi Felda serta pelan pemulihan bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan memastikan peneroka terus dibela oleh kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 3:40 PM