FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


TINDAKAN tukang masak yang mengugut mahu menyebarkan video lucah seorang wanita membawa padah apabila didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan terhadap Chang Ye Siong, 45, selepas dia menukar pengakuan bersalah dalam prosiding perbicaraan kes itu.

Mahkamah turut memerintahkan bapa dua anak itu dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan terhadap wanita berusia 35 tahun dengan cara hendak menyebarkan gambar bogel mangsa di hotel di Kota Damansara pada September 2017.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki dua telefon bimbit jenis Samsung yang mengandungi video lucah yang dimuatnaik bertujuan untuk diedarkan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah D11 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, 8 pagi pada 19 Disember 2018.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh merakamkan panggilan video antara dia dan mangsa sebelum meminta mangsa membuat aksi lucah.

Bagaimanapun, tertuduh kemudian mengugut wanita itu akan menyebarkan video lucah pada keluarganya.

Khuatir dengan ugutan itu, mangsa kemudian membuat laporan polis.

Terdahulu, peguam Mohd Redzuan Mohd Yusof dan Faiezad Razal memohon mahkamah mengurangkan hukuman atas alasan anak guam mereka sudah dibuang kerja dan telah insaf atas perbuatannya itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran ke atas tertuduh kerana kesalahan serius.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 3:08 PM