Muhammad Aliff menghidap hydrocephalus atau lebihan cecair dalam kepala sejak lahir. FOTO Ihsan Pembaca
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“SAYA reda dengan ujian ini dan akan menjaganya sebaik mungkin selagi kudrat masih ada,” kata Sazali Yusoff, 45, bapa kanak-kanak berusia empat tahun lapan bulan, Muhammad Aliff yang menghidap hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala.

Sazali berkata, Muhammad Aliff yang juga anak bongsu daripada dua beradik disahkan menghidap penyakit itu sejak lahir dan keadaan itu menyebabkannya terlantar serta tidak mampu bergerak bebas seperti kanak-kanak seusianya.

Lebih menyedihkan, Muhammad Aliff tidak dapat bertutur, melihat dan makan sebaliknya hanya minum susu melalui tiub yang dimasukkan pada hidungnya.

“Doktor sudah memaklumkan mengenai keadaannya yang mempunyai masalah di kepala ketika kandungan isteri, Zanariah Hussin, 39, berusia lapan bulan lagi.

“Namun kami tidak melihat sebarang tanda penyakit itu sehingga melihat kepalanya mula membesar ketika berusia dua bulan.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya dan isteri membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan ketika itu, barulah doktor mengesahkannya menghidap penyakit ini,” katanya.

Sazali yang menetap di Felda Kampung Sertik, Karak, Pahang berkata, anaknya itu sudah menjalani pembedahan dua kali bermula Mac 2015 untuk membuang lebihan cecair dalam kepala diikuti Julai tahun sama berikutan adanya jangkitan kuman.

Namun tiada perubahan positif dapat dilihat pada anaknya selepas pembedahan itu sebaliknya Muhammad Aliff terlantar seperti sebelumnya dengan keadaan kepala yang lembik.

“Doktor menjangkakan dia hidup sehingga berusia tiga bulan saja namun dengan izin Allah SWT, dia masih ada sehingga kini.

“Cuma, dia hanya terlantar jadi saya dan isteri perlu memantau dan menguruskannya setiap hari termasuk memandikan dan memberinya makan ubat mengikut waktu.

“Kami juga perlu membawanya ke hospital empat atau lima kali setiap bulan untuk mengambil ubat, menjalani pemeriksaan dengan doktor pakar serta rawatan susulan.

“Keadaan itu memaksa saya berhenti kerja sebagai penghantar barang Mei tahun lalu dan kini berniaga sendiri dengan menjual pengelap cermin kereta di sekitar kawasan Mentakab, Pahang,” katanya.

Sazali berkata, meskipun bekerja sendiri, pendapatan bulanannya tidak menentu dan dianggarkan RM700 hingga RM800 saja.

Katanya, jumlah itu memang tidak mencukupi kerana perlu membeli keperluan Muhammad Aliff seperti susu dan lampin pakai buang selain menanggung perbelanjaan anak sulung, Nurul Syafiqa, 11 yang masih bersekolah.

“Selain perbelanjaan untuk anak dan isteri, saya juga perlu memperuntukkan wang untuk mengisi petrol kenderaan memandangkan kerap berulang alik dari rumah ke tapak niaga serta hospital.

“Mujurlah ada bantuan bulanan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan selebihnya sumbangan saudara mara serta orang ramai yang prihatin.

“Buat masa ini, saya hanya berusaha dan berdoa Allah SWT supaya segala urusan kami sekeluarga dipermudahkan,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 0610829000081186 atau Maybank bernombor 106089321704 atas nama Sazali Yusoff.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 2:49 PM