FOTO Hiasan
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


SANGGUP berkongsi wang dan bersesak dalam bilik kecil untuk mengadakan pesta liar. Itu dilakukan sekumpulan 50 individu yang menyewa bilik untuk menyambut majlis hari jadi sekaligus menganjurkan pesta liar di pusat karaoke di Jalan Berapit, Bukit Mertajam, semalam.

Golongan terbabit terdiri daripada 37 lelaki serta 13 perempuan berusia 15 hingga 30 tahun itu bagaimanapun ditahan sepasukan polis yang melakukan serbuan di pusat karaoke terbabit pada 4 pagi.

Kebanyakan mereka yang ditahan itu adalah pekerja kilang, penganggur, selain empat daripadanya masing-masing dua remaja lelaki dan dua remaja perempuan masih dibawah umur serta seorang janda berusia 27 tahun dan seorang lelaki warga Bangladesh.

Difahamkan, kumpulan terbabit baru berjinak-jinak untuk menganjurkan pesta liar dengan ada antara mereka pertama kali masuk ke pusat karaoke berkenaan selepas dibawa rakan.

Mereka juga dikesan menggunakan alasan menyambut hari jadi seorang daripada peserta untuk memujuk rakan-rakan lain berhibur di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada mereka iaitu dua lelaki dan seorang perempuan positif dadah.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati dua lelaki terbabit yang juga pekerja kilang serta peniaga berusia 20 dan 22 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun masing-masing mempunyai dua rekod lampau bersabit kes dadah.

“Dalam serbuan itu juga kita berjaya merampas dua pil erimin 5, lima pil merah disyaki dadah serta sepaket kondom yang ditemui atas lantai dalam bilik berkenaan.

“Tiga suspek berkenaan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 1:42 PM