DEWAN Rakyat memulakan persidangan dengan berdoa dan bertafakur sempena 40 hari kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Pahang. FOTO Eizairi Shamsudin.
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


DEWAN Rakyat memulakan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas, hari ini dengan bertafakur seminit.

Ia sempena 40 hari kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Pahang, Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar.

Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Arif Md Yusoff berkata, kemangkatan baginda adalah satu kehilangan besar kepada negara dan ditangisi seluruh rakyat.

Almarhum Sultan Ahmad Shah mangkat di Institut Jantung Negara pada 22 Mei lalu pada usia 89 tahun.

Terdahulu, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat.

Beliau daripada DAP mewakili Pakatan Harapan (PH) selepas memenangi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu pada 11 Mei lalu.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang yang juga bapanya Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 11:00 AM