MOTOSIKAL dan ketum yang dirampas. FOTO/ Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


BADAN lemah serta menggigil, tidak bermaya untuk bekerja dan tidak lalu makan. Itu antara alasan diberikan seorang ‘kaki ketum’ ketika dia ditahan polis di Jalan Permatang Rawa, Bukit Tengah, Georgetown, malam kelmarin.

Bagaimanapun, alasan lelaki berusia 26 tahun itu bukan saja gagal untuk dia melepaskan diri malah pemeriksaan lanjut mendapati dia mempunyai dua rekod lampau bersabit kes dadah.

Selepas didapati mempunyai rekod lampau kes dadah itu, lelaki berkenaan sekali lagi memberi alasan dia minum air ketum kerana mahu melepaskan gian menghisap dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek ditahan jam 11.10 malam selepas dilhat menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, polis kemudian membuat pemeriksaan dalam bakul motosikalnya dan menemui satu beg plastik hitam yang mengandungi botol berisi air ketum.

“Suspek yang mempunyai dua rekod lampau kes dadah itu ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah SPT bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) AKta Racun 1952.

“Kami turut merampas botol mengandungi air ketum, motosikal Honda EX5 biru, kunci dan beg plastik hitam,” katanya.

Sementara itu, dalam satu serbuan berasingan dua lelaki ditahan jam 11.30 malam di Jalan Permatang Rawa kerana memiliki dua botol air ketum.

Nik Ros Azhan berkata, dua lelaki berusia 30-an itu pada mulanya dilihat menaiki Perodua Viva kelabu dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan polis menemui dua botol plastik mengandungi air ketum yang di sembunyikan di tempat duduk penumpang hadapan.

“Kedua-dua suspek kemudian dibawa dan ditahan dalam lokap untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 4:12 PM