LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


SIASATAN terhadap insiden kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang parah pada muka digigit anjing di rumah di Taman Makmur, Endau, dekat Mersing, Khamis lalu, masih dijalankan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing, Norazmi Amir Hamzah, berkata sehingga kini,

Jabatan Perkhidmatan Veterinar sudah mengambil anjing terbabit untuk membuat vaksin.

“Masih siasat lagi sebab menurut laporan, anjing itu di dalam compound (kawasan) tuan punya rumah.

“Tindakan akan diambil berdasarkan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Mersing) 2003.

“Kalau sabit kesalahan, denda akan dikenakan tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-dua sekali,” katanya ketika dihubungi di Mersing, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata tiada tangkapan terhadap pemilik anjing berkenaan.

“Tiada tangkapan setakat ini dan kes akan dirujuk kepada pejabat penasihat undang undang.

“Berkenaan anjing, pihak majlis daerah akan ambil tindakan kerana pemilik tiada lesen,” katanya.

Terdahulu, kanak -kanak perempuan berusia 11 tahun parah pada muka digigit anjing di rumah di Taman Makmur, Endau, Mersing Khamis lalu.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, mangsa sedang bermain di rumah jirannya.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas tali rantai pengikat anjing berkenaan tercabut menyebabkan haiwan itu terlepas dan menyerang mangsa.

Anjing baka campuran itu kemudiannya menggigit muka serta beberapa bahagian badan mangsa.

Difahamkan, mangsa yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Ching, Endau, digigit anjing jenis ‘pitbull’ yang dibela pemiliknya lima tahun lalu.

Berita berkaitan

Parah muka digigit anjing jiran

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 2:54 PM