Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


SESI pembelajaran membabitkan semua sekolah di Pasir Gudang yang terjejas akibat pencemaran udara akan diteruskan seperti biasa esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, langkah yang diambil setakat ini ialah mengosongkan kelas di tingkat tiga dan empat.

Beliau berkata, murid akan ditempatkan ke tingkat bawah bangunan bagi mengelak simptom muntah dan pening berulang.

“Hari ini adalah hari persekolahan bagi murid dan pelajar di Pasir Gudang, tetapi kita menerima laporan ada yang mengalami simptom muntah dan pening.

“Majoriti kelas mereka di tingkat tiga dan empat. Setakat ini kita pindahkan mereka yang lain ke tingkat bawah bagi mengelakkan lebih ramai yang terjejas dan esok juga kita akan kosongkan bangunan di tingkat tiga dan empat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz dan Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Jasni Omar.

SK Kopok adalah sekolah tertinggi di Pasir Gudang berikutan lokasinya terletak di bukit dengan 26 murid dilaporkan mengalami simptom berkenaan.


MURID SK Kopok pulang selepas sebahagian daripada rakan mereka mengalami simptom muntah dan sesak nafas pagi tadi. FOTO Zain Ahmed

Menurutnya, setakat hari ini dan esok sesi persekolahan masih berjalan seperti biasa.

“Bagaimanapun pihak pengurusan sekolah dinasihatkan membawa murid dan pelajar ke klinik kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan sekiranya mengalami simptom ini,” katanya.

Mohd Khuzzan berkata, seramai 130 murid dan pelajar termasuk tiga guru dari 15 sekolah dilaporkan mengalami simptom muntah dan pening, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, daripada jumlah itu, hanya 14 dirujuk ke Klinik Kesihatan (KK) Masai dan 16 dirujuk ke KK Pasir Gudang untuk rawatan lanjut.

Ditanya tindakan boleh diambil bagi meredakan kebimbangan orang ramai, Mohd Khuzzan berkata, kualiti udara di Pasir Gudang sejak pagi tadi normal dan selamat.

“Kualiti udara bacaannya dari pagi tadi, turun naik.

“Sifar, kemudian naik 0.5, kemudian satu, dua dan berbalik semula ke sifar. Ia bergantung kepada angin, tetapi masih normal.

“Saya yakin esok keadaan kembali normal kerana kita sudah minta sekolah pindahkan murid dan pelajar di tingkat atas ke tingkat lebih rendah,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 2:34 PM