ZABIDI (kiri) dan Meor Razak (tengah) melihat air parit yang tercemar didakwa kesan pembuangan air pembersihan yang bercampur dengan sisa najis dan makanan ayam. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


SELEPAS terpaksa ‘berperang’ dengan lalat sejak berpuluh tahun lalu, penduduk Kampung Batu 10, Segari, Manjung, kini berdepan masalah pencemaran air yang didakwa kesan aktiviti penternakan ayam dari kawasan berhampiran.

Hampir keseluruhan air parit di kebun kelapa sawit seluas 500 hektar milik penduduk kampung menjadi hitam dan berbau busuk didakwa kesan pembuangan air pembersihan reban yang bercampur dengan sisa makanan dan najis ayam.

Penduduk, Zabidi Said, 63, berkata, masalah pencemaran air itu semakin serius sejak empat bulan lalu sehingga menyukarkan penduduk mendapatkan air bersih untuk kegunaan kebun mereka.

Menurutnya, air parit akan menjadi hitam dan berbau busuk selepas pengusaha mencuci reban ayam dan membuangnya terus ke dalam parit sebelum mengalir ke Sungai Gelam, Segari.

“Saya terpaksa mengangkut empat tong air dari rumah untuk meracun di kebun seluas dua hektar. Dengan keadaan air yang kotor dan berwarna hitam tidak boleh digunakan untuk meracun, malah air itu juga menyebabkan gatal.

“Perkara ini menyusahkan kami kerana rumah jauh dari kebun dan turut menambah masalah selepas ‘serangan’ lalat yang masih belum menemui penyelesaian,” katanya ketika ditemui pada tinjauan media bersama badan bukan kerajaan (NGO) Rakan Segari di kampung berkenaan.

Katanya, pencemaran itu didakwa berpunca daripada penternakan ayam yang menggunakan sistem tertutup kerana air pembersihan reban yang bercampur dengan najis terus disalurkan ke parit dan sungai tanpa rawatan.

“Sistem sebelum ini air cucian terus meresap ke tanah dan mereka beritahu jika guna sistem tertutup dapat membantu menyelesaikan masalah lalat tapi sekarang bukan saja lalat bertambah, malah air pula kotor dan berwarna hitam.

“Bila penduduk bising pengusaha akan membuat semburan (fogging) dan kami juga sudah banyak kali menyuarakan isu ini, takkan nak tunggu sampai orang jatuh sakit baru nak ambil tahu, justeru itu kami harap kali ini ada tindakan lebih tegas untuk atasi masalah ini,” katanya.

Pazaer Senawi, 65, yang tinggal di muara Sungai Gelam turut mendakwa air dari parit di kebun berkenaan yang tercemar itu menimbulkan bau busuk seperti najis ayam di sungai berkenaan apabila air surut.

Katanya, hasil laut seperti ikan dan siput di muara Sungai Gelam juga sudah semakin berkurangan sejak pelbagai aktiviti dijalankan di kawasan Segari.

“Sekarang ini kalau mahu makan saya terpaksa menunggu air pasang sebab tiada bau busuk yang menjadi masalah penduduk di sini selain isu lalat sejak sekian lama,” katanya.

Sementara itu, jurucakap NGO terbabit, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, pencemaran air dilihat semakin serius selain isu gangguan lalat yang sudah lama berlaku akibat aktiviti ternakan ayam serta tapak pelupusan sampah.

Katanya, jika dibiarkan masalah berkenaan berlarutan tanpa kawalan, ia dikhuatiri akan menimbulkan wabak penyakit dan berharap tindakan tegas mengatasinya diambil kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 10:43 AM