ANTARA bot penumpang yang diperiksa. FOTO ihsan Maritim Malaysia.
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


DUA bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di 0.1 dan 0.7 batu nautika barat Pantai Telok Kemang, Port Dickson, semalam.

Kedua-dua bot itu dihampiri oleh pasukan peronda untuk melakukan pemeriksaan jam 4 petang.

Pengarah Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Amran Daud berkata, bot dikendalikan tekong tempatan itu membawa pelancong dari pantai.

“Pemeriksaan mendapati sebuah bot menjalankan operasi dengan lesen tamat tempoh manakala sebuah lagi bot membawa penumpang melebihi muatan.

“Berikutan itu, kedua-dua tekong ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amran berkata, sebanyak lima tangkapan bot penumpang atas pelbagai kesalahan direkodkan pihaknya tahun ini.

Beliau menasihati pengusaha bot penumpang agar tidak mementingkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan aspek keselamatan ketika membawa pelancong bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, Maritim Malaysia akan meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan orang awam diutamakan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat jenayah dan kecemasan di laut menghubungi Pusat Operasi Maritim di talian 06-3876730 atau 999 yang beroperasi 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 10:39 AM