Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


SEMUA 111 sekolah di Pasir Gudang yang ditutup susulan insiden gangguan kesihatan murid dan pelajar akibat pencemaran udara dibuka semula seperti biasa hari ini.

Tinjauan Harian Metro di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4 iaitu antara sekolah terawal yang terkesan dalam insiden itu beroperasi dengan kehadiran murid yang baik.

Ada di antara mereka yang hadir siap berpenutup hidung dan mulut sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku keadaan gangguan pada kualiti udara.

Turut hadir membuat tinjauan ke sekolah itu ialah Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan dan Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Jasni Omar.

Azman berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hari ini akan ke 18 sekolah yang diberi keutamaan untuk diadakan Taklimat Keselamatan dan Pencegahan.

“JKNJ akan pergi ke 18 sekolah untuk diberi penjelasan mengenai status kualiti udara dan persediaan sekiranya berlaku pencemaran udara.

“Ini antara usaha untuk bantu sekolah kerana murid ramai terkesan. Ini sistem sokongan yang dibuat oleh jawatankuasa insiden ini untuk membantu sekolah,” katanya ketika ditemui pada lawatan berkenaan, hari ini.

Turut hadir, Guru Besar SK Pasir Gudang 4, Norliza Hashim dan Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Norhafizah Mohamed.

Sekolah yang diberi keutamaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, SMK Pasir Putih, SMK Taman Nusa Damai, SMK Taman Megah Ria, SMK Bandar Seri Alam 1 dan SMK Pasir Gudang 2.

Sekolah lain ialah SK Pasir Gudang 1, SK Taman Pasir Putih, SK Tanjung Puteri Resort, SK Pasir Gudang 2, SK Kopok, SK Pasir Gudang 4, SK Taman Rinting 3, SK Kota Masai, SK Pasir Putih, SK Taman Bukit Dahlia, SK Taman Rinting 2 dan SK Taman Molek.

Pada lawatan itu, Azman turut mengagihkan penutup hidung dan mulut kepada murid.

Azman berkata, setakat ini, sesi persekolahan berjalan seperti biasa dan sama seperti insiden pencemaran Sungai Kim Kim, sesi pembelajaran yang ditutup tidak akan diganti.

“Tiada sekolah ganti. Cuma yang kita rancang bahawa jika berlaku defisit pembelajaran ketika cuti, kita akan buat penjajaran oleh pihak sekolah melalui aktiviti pembelajaran tertentu. Itu bergantung kepada pihak pengurusan sekolah.

“Jumlah sesi persekolahan cukup dan kita yakin silibus boleh selesai dalam tempoh sesi 2019,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih sentiasa memantau kualiti udara bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan baik.

“Beberapa hari ini, kualiti udara tiada masalah, murid dan pelajar juga tidak sabar bersekolah. Tiada lagi yang dirawat di hospital. Kita lihat situasi ini tidak kritikal.

“Kita yakin insiden ini tidak berulang kerana berdasarkan taklimat kepada kita kualiti udara semakin baik dan normal berbanding beberapa minggu yang lalu,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 10:16 AM
MURID SK Pasir Gudang 4 hadir ke sekolah memakai penutup hidung dan mulut. FOTO Zain Ahmed