GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my

TERMAKAN pujukan rayuan tiga individu yang mendakwa terdesak memerlukan wang bagi kos perubatan keluarga menyebabkan peneroka dari Jerantut kerugian ditipu RM4,500.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 66 tahun didatangi seorang lelaki dan wanita ketika berada di pasar raya di sini.

“Suspek meminta bantuan kewangan untuk urusan ibunya sakit di hospital. Mereka menunjukkan resit nombor ekor kepada mangsa sebagai jaminan dan akan membayar balik wang kepadanya.

“Mangsa kemudian dibawa oleh mereka naiki Toyota Avanza kelabu dan terdapat lelaki berada di dalam kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek ketiga itu kemudian mengambil barangan peribadi mangsa seperti telefon bimbit, kad pengenalan dan buku simpanan Tabung Haji untuk diperiksa.

“Mangsa kemudian dibawa ke sebuah bank untuk urusan pengeluaran duit.

“Begitupun mangsa menyatakan wang simpanan tiada dalam akaunnya dan mangsa menyerahkan wang tunai yang adanya kepada suspek.

“Selepas menyerahkan wang RM4,500 itu, mangsa menerima resit nombor ekor sebagai jaminan. Suspek memberitahu akan membayar balik wang itu keesokan hari,” katanya.

Katanya, selepas itu mangsa diserahkan barang peribadi dan ditinggalkan di hadapan sebuah restoran di bandar ini.

“Selepas itu baru mangsa menyedari dirinya sudah ditipu oleh suspek dan dia cuba menghubungi nombor yang diberikan suspek namun gagal.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, semalam,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 4:47 PM