Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


PELBAGAI cabaran seperti hujan lebat dan laluan berliku namun tidak sedikitpun mematahkan semangat 21 peserta program eksplorasi Gunung Syue, Taiwan 2019 untuk tiba di puncak gunung yang berketinggian 3,886 meter dari paras laut semalam.

Peserta memulakan pendakian ke puncak pada hari ketiga ekspedisi bermula 6 pagi sebelum peserta pertama tiba 10 pagi.

Misi menawan puncak kedua tertinggi di Taiwan itu digerakkan Kelab Media Pahang serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mana pendakian bermula Rabu lalu.

Ekspedisi juga dirancang sempena memuliakan ulang tahun keputeraan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Shah dan pertabalan baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini.

Antara mengambil bahagian ialah Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin; Pengarah JBPM Pahang Nor Hisham Mohamad serta Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin.

Turut serta wartawan Harian Metro, Mohamad Azim Fitri Abd Aziz dan Jurugambar The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Zulkepli Osman.

Program diketuai koresponden wilayah timur TV3, Ahmad Fazli Ahmad menamatkan pendakian hari ini dan dijangka tiba ke tanah air pada Isnin ini.

Isnin lalu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meraikan semua peserta serta melepaskan program ekspedisi pendakian di Istana Negara.

Kelab Media Pahang mula aktif dalam sukan mendaki sejak 2014 dan sudah menganjurkan program mendaki di beberapa gunung di dalam dan luar negara.

Antara gunung yang pernah didaki ialah Gunung Fan Sifan, Vietnam, Gunung Kerinci, Indonesia, Gunung Pulag, Filipina, Kem Pangkalan Annapurna (ABC), Nepal dan Gunung Daik, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 4:35 PM