ANTARA warga asing ditahan dalam operasi JIM di Pusat Bandar Puchong, Serdang, malam tadi. FOTO/ Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


ADA yang cedera akibat terjatuh, ada yang memanjat siling, malah ada yang bersembunyi di dalam bakul lantaran cuba melarikan diri dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di tiga premis di Pusat Bandar Puchong, malam tadi.

Serbuan bermula jam 10.30 malam itu dilakukan 19 pegawai Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) termasuk empat pegawai JIM Selangor selepas risikan dilakukan di lokasi berkenaan sejak bulan lalu.

Ketua Pengarah JIM Datuk Indera Dzaimee Daud berkata, seramai 51 warga asing terdiri daripada gadis pelayan pelanggan (GRO) dan pekerja serta enam majikan warga tempatan ditahan dalam serbuan tiga premis di lokasi berkenaan.

“Dalam serbuan itu, kami memeriksa tiga premis membabitkan sebuah pusat hiburan dan dua pusat urut di kawasan deretan kedai di lokasi terbabit.

“Hasil pemeriksaan, kami menahan 40 wanita dan 11 lelaki warga asing dan enam majikan tempatan berusia antara 15 hingga 40 tahun.

“Antara warga asing yang ditahan dari Vietnam, Indonesia dan Bangladesh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Indera Dzaimee berkata, siasatan mendapati pusat hiburan itu menawarkan khidmat layanan GRO dengan menggunakan kaedah kalungan bunga kepada gadis pilihan dengan harga RM1,000 setiap satu kalungan.

“GRO yang memperoleh kalungan bunga paling banyak akan dinobatkan seabgai ‘Girl of the Month’. Malah, GRO ini juga boleh dibawa keluar dalam radius sejauh lima kilometer dari pusat hiburan terbabit dengan bayaran RM200 bagi tempoh lima jam.

“Selain itu, sebuah pusat urut yang diserbu di lokasi terbabit menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM180 bagi perkhidmatan urutan badan ke badan,” katanya.

Dalam serbuan itu, beberapa bungkusan dadah dan gel pelincir ditemui di pusat hiburan dan pusat urut berkenaan dipercayai untuk digunakan bagi kegiatan pelacuran.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor di Shah Alam untuk proses dokumentasi.

“Mereka kemudian ditahan ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah.

“Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa atas pelbagai pas serta Peraturan 39b kerana melanggar syarat pas di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 1:49 PM