ANTARA penagih dadah yang berjaya dicekup polis. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

POLIS memberkas tujuh penagih dadah di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Lui Selatan Satu, Jempol yang dijadikan lokasi penagihan dadah, semalam.

Menerusi Op Sarang yang dilancarkan, polis mengenal pasti ladang yang dikenali Bukit Kiah itu dijadikan kawasan melepaskan gian berikutan terletak lima kilometer dari kediaman penduduk.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya melakukan intipan sejak minggu lalu dan mendapati lokasi itu begitu terpencil.

“Lokasi ini jauh dari masyarakat menyebabkan ia menjadi tumpuan penagih sekitar. Pihak kami menerima maklumat awam melakukan serbuan jam 12.45 tengahari,” katanya.

Beliau berkata, ketika serbuan terdapat beberapa lelaki di lokasi yang bertindak melarikan diri.

“Seorang penagih berjaya dicekup dan pemeriksaan menemui heroin seberat 0.28 gram dalam poket seluar suspek.

“Kami menunggu di kawasan itu selama sejam sebelum enam lelaki yang datang untuk menagih dadah berjaya dicekup,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurut Muhd Nur Hishamuddin, enam lelaki itu menafikan menagih dadah dan memberikan alasan datang mengait buah kelapa sawit.

“Ujian air kencing dilakukan mendapati ketujuh-tujuh suspek berusia 20 hingga 40 tahun positif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (3) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 1:03 PM