FOTO Hiasan
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


DUA lagi kes penyakit Chikungunya dikesan di daerah Kota Setar, semalam menjadikan jumlah keseluruhan kini mencecah 30 kes.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, pertambahan dua kes itu dikesan di deretan kedai berhampiran City Plaza manakala jumlah dilaporkan di Simpang Kuala kekal tujuh kes.

Beliau berkata, bagaimanapun semua kes adalah stabil.

“Walaupun terdapat peningkatan kes dalam wabak ini, siasatan menunjukkan semua kes terdedah kepada jangkitan berlaku sebelum aktiviti kawalan dilaksanakan berdasarkan tarikh mula tanda dan gejala atau tarikh ‘on set’.

“Aktiviti kawalan vektor di Simpang Kuala bermula pada 25 Jun lalu diteruskan sehingga hari ini dan sehingga kini, 97 premis sudah diperiksa di sekitar Simpang Kuala dan 12 kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dengan nilai RM6,000 kepada pemilik premis yang membiak Aedes,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan itu, Norhizan berkata, Pejabat Kesihatan Daerah kini sedang menjalankan tindakan pencegahan dan kawalan iaitu dengan pengesahan kes secara aktif (ACD) sedang dijalankan di sekitar kawasan terbabit.

Beliau berkata, selain itu promosi kesihatan giat dilakukan kepada penduduk setempat iaitu meminta mereka mendapatkan rawatan segera jika mengalami tanda demam, sakit sendi dan ruam.

“Pegawai kami turut melakukan pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembaikan nyamuk Aedes di sekitar kediaman dan premis perniagaan.

“Kami memaklumkan kepada hospital dan klinik swasta untuk melaporkan kes mempunyai tanda dan gejala berkaitan penyakit itu kepada Pejabat Kesihatan Daerah.

“Aktiviti kawalan vektor, pemantauan kes dan siasatan lanjut akan terus dijalankan oleh PKD Kota Setar,” katanya.

Beliau berkata, untuk mencegah penularan penyakit Chikungunya, masyarakat diharap dapat melakukan aktiviti seperti membersihkan pesekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembaikan nyamuk aedes di kediaman dan premis masing-masing setiap minggu.

Katanya, selain itu, orang ramai boleh menggunakan semburan aerosol untuk membunuh nyamuk di dalam rumah serta elakkan gigitan menggunakan ‘repelant’.

“Orang ramai disaran memakai pakaian lengan panjang serta seluar panjang cerah ketika berada di luar rumah.

“Mereka perlu menggunakan ubat pembunuh jentik-jentik di dalam bekas takungan air kekal atau sukar dibersihkan.

“Orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi terutama di sekitar lokasi terbabit dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di klinik kesihatan berdekatan,” katanya.

Beliau berkata, maklumat lanjut perkembangan kejadian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan orang ramai di nasihatkan untuk membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah meminta semua pihak terutama masyarakat setempat untuk turut serta menangani pencegahan untuk menghapuskan tempat pembaikan nyamuk aedes dan mencegah jangkitan Chikungunya, denggi dan Zika.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 12:56 AM