Mohd Kamarudin (kiri) naik pangkat sebagai Ketua Polis Johor dan Mohd Dzuraidi pula Timbalan Pengarah Forensik/Databank/DNA/Perancangan Strategik JSJ Bukit Aman.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat membabitkan enam pegawai kanannya hari ini, yang berkuatkuasa pada 29 Julai nanti.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Asmawati Ahmad menerusi satu kenyataan berkata, Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din dinaikkan pangkat kepada Ketua Polis Johor dengan memangku pangkat Komisioner.

“Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Dev Kumar dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak menggantikan Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim.

Mohd Dzuraidi pula menjawat Timbalan Pengarah Forensik/Databank/DNA/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Timbalan Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) (Perancangan Strategik) Datuk Muhammad Azlee Abdullah pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman,” katanya.

Asmawati berkata, Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Fisol Salleh pula menjawat Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Khas) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

“Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bak Phai ditukarkan ke Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Sarawak dengan memangku pangkat Asisten Komisioner,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 10:37 PM