Laporan Harian Metro sebelum ini.
Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


HANYA seorang saja pesakit iaitu pelajar perempuan berusia 17 tahun yang masih mendapatkan rawatan di wad Hospital Sultan Ismail (HSI), Pasir Gudang sehingga jam 12 tengah hari ini susulan insiden pencemaran udara berhampiran Sekolah Agama Taman Mawar pada minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, tiada pesakit baru dimasukkan ke hospital, manakala tiga rakan sekolah remaja perempuan itu sudah dibenarkan keluar dari wad sejak semalam dan hari ini.

“Remaja perempuan itu dimasukkan ke wad bersama tiga remaja lain pada pagi 25 Jun lalu tetapi masih ditahan di wad bagi rawatan lanjut.

“Sehingga kini, bacaan tahap kualiti udara di kawasan Pasir Gudang berada pada tahap baik, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan sekatan jalan raya sepanjang 24 jam di lokasi yang dikenal pasti sebagai akses utama keluar masuk ke kawasan itu.

“Sehingga hari ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) menerusi pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) masih memantau tahap kualiti udara menggunakan gas analyser (GASMET) dalam radius pengesanan sejauh tujuh kilometer membabitkan 20 sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil operasi penguatkuasaan yang diselaraskan Jabatan Alam Sekitar (JAS), beberapa premis sudah dipantau dan diarahkan membuat pelupusan sisa dengan segera.

“Sebarang pertanyaan dan pengesahan maklumat, orang ramai boleh hubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang di talian 07-2513444 atau Pusat Gerakan Operasi Negeri JBPM Johor di talian 07-3310860 atau Pusat Kawalan Operasi Bencana 07-2511 024.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 10:01 PM