Mohamed Azmin. FOTO Arkib NSTP
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tidak wujud transaksi oleh sebuah syarikat ke akaun bank peribadi milik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali seperti didakwa sesetengah pihak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya turut menafikan dakwaan mengenai kewujudan akaun bank di luar negara pada 2012 milik menteri berkenaan.

“SPRM menerima pelbagai pertanyaan daripada pihak media serta orang ramai berkaitan laporan yang dibuat Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam, baru-baru ini, mengenai transaksi meragukan syarikat pembinaan ke akaun bank peribadi milik menteri kanan yang sebenarnya merujuk kepada Mohamed Azmin.

“Selain itu, Lokman juga mendakwa terdapat kewujudan akaun bank di luar negara pada 2012 milik menteri berkenaan.

“SPRM sudah menjalankan siasatan dan mendapati tidak wujud transaksi yang dinyatakan dan tiada kewujudan akaun bank yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, SPRM turut menyiasat mengenai tohmahan terhadap Mohamed Azmin yang bertajuk ‘Here is the proof Azmin Ali is toyol of Selangor’ yang mana satu laporan pernah diterima pada Ogos 2018.

“Berhubung dengan isu ini, siasatan berkenaan sudah dijalankan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) serta institusi kewangan lain dan mendapati tohmahan yang dibangkitkan ini adalah tidak benar.

“Diharap kenyataan ini akan dapat memberi pencerahan kepada orang ramai,” katanya.

Pada 12 Jun lalu, Lokman yang juga Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat menyerahkan laporan kepada SPRM bagi meminta agensi itu menyiasat dakwaan pemindahan dana RM4 juta ke akaun bank Mohamed Azmin sekitar Disember 2017.

Lokman mendakwa menerima satu rekod transaksi dana oleh UEM Group Bhd ke atas akaun Timbalan Presiden PKR itu di Deutsche Bank pada 19 Disember 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 7:55 PM