Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


PELAJAR tingkatan dua dipercayai menjadi mangsa rogol di kawasan semak di Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus, Ahad lalu.

Kejadian menimpa mangsa berusia 14 tahun itu terbongkar selepas ibu mangsa berusia 43 tahun dihubungi guru sekolah anaknya memaklumkan remaja itu dipercayai menjadi mangsa serangan seksual.

Menurut sumber, mangsa mula menunjukkan perubahan apabila banyak mendiamkan diri selepas keluar bersama rakannya pada Ahad lalu menyebabkan ibu mangsa meminta bantuan guru sekolah anaknya untuk bertanya.

Katanya, mangsa memaklumkan dirogol seorang suspek yang juga rakan kepada lelaki yang mengambilnya di rumah sebelum kejadian itu.

“Mangsa memaklumkan keluar bersama rakannya itu untuk menemaninya makan sebelum dia dibawa ke kawasan semak oleh rakannya bersama dua lagi lelaki.

“Mangsa dirogol salah seorang suspek sementara dua suspek termasuk rakan mangsa hanya menunggu di motosikal dan mangsa dihantar pulang ke rumah selepas dirogol.

“Susulan laporan dibuat ibu mangsa di Balai Polis Gong Badak pada Selasa lalu, tiga suspek berusia 15 tahun dan masih bersekolah ditahan di rumah masing-masing di sekitar Gong Badak kelmarin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, tiga suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 3:43 PM