LELAKI warga asing menjual roti diberkas Jabatan Imigresen. FOTO/ Ihsan Jabatan Imigresen
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


DIA bekerja sebagai penjual roti bermotosikal namun tindakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari India yang cuba mengaburi pihak berkuasa ini gagal jua.

Tindakan PATI berkenaan tetap dihidu pihak berkuasa sebelum diberkas Jabatan Imigresen (JIM) negeri petang semalam.

Dalam kejadian berkenaan, seorang lelaki dari India yang menjual roti menggunakan motosikal diberkas JIM selepas lebih beberapa bulan melarikan diri daripada majikan asalnya.

Pengarah JIM negeri Muhamad Husni Mahmud berkata, jika sebelum ini lelaki warga Pakistan dikesan menjual karpet menggunakan motosikal, namun terbaru PATI warga India dikesan menjual roti menaiki motosikal.

“Aktiviti ini berjaya dikesan Bahagian Penguatkuasa JIM Pulau Pinang yang mengekori dan memeriksa seorang individu yang menjual roti dengan menaiki motosikal di sekitar Georgetown.

“Pemeriksaan mendapati dia diluluskan permit untuk bekerja dalam sektor perkhidmatan sebagai pekerja restoran dan dia melarikan diri daripada majikan asal,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan didapati melanggar peruntukan di bawah Peraturan 9(3) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Dalam operasi yang dijalankan bermula jam 9.30 pagi hingga lewat petang semalam itu juga, JIM negeri melakukan beberapa serbuan dan pemeriksaan di kilang besi, kedai menjual barang kemas dan hotel sekitar Georgetown.

SEBAHAGIAN PATI yang ditahan semalam. FOTO/ Ihsan Jabatan Imigresen

Beliau berkata, seramai 36 individu diperiksa terdiri daripada warga tempatan dan asing di semua lokasi sebelum empat lelaki warga asing ditangkap.

“Mereka yang ditahan adalah dua lelaki Myanmar dan dua lelaki Bangladesh kerana disyaki melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen yang sah untuk berada di Malaysia.

“Dua warga tempatan juga ditangkap kerana disyaki melanggar peruntukan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja asing tanpa dokumen yang sah,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan malam tadi, JIM negeri menyerbu beberapa unit pangsapuri di sekitar negeri ini selepas menerima aduan ia diduduki PATI.

Muhamad Husni berkata, pihaknya berjaya menahan 19 PATI terdiri daripada 11 lelaki Bangladesh, seorang lelaki dan tiga perempuan Indonesia, tiga lelaki Myanmar serta seorang lelaki Pakistan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 1:08 PM