Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


MEDAN selera di Plaza Nu Sentral, Brickfields digempur pihak berkuasa menerusi Ops Niaga siri 4 selepas aduan mendapati ramai warga asing bekerja di kawasan perniagaan itu semalam.

Serbuan 2 petang itu menyaksikan 45 warga asing diberkas selepas didapati melanggar pelbagai kesalahan dan turut ditahan dua majikan yang dikesan menggajikan pekerja asing tanpa dokumen sah.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi disertai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Dalam pemeriksaan ini, JIM melakukan pemeriksaan terhadap 71 warga asing sebelum mendapati 45 daripada mereka bekerja tanpa permit sah selain melanggar beberapa kesalahan imigresen lain.

“Warga asing yang ditahan terdiri daripada 19 warga Indonesia, 11 dari Myanmar, sembilan warga Bangladesh, tiga warga Kemboja dan seorang warga China,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, turut ditahan dua majikan masing-masing seorang warga tempatan serta lelaki warga Korea Selatan dan akan disiasat mengikut Seksyen 55B kerana menggaji warga asing tanpa permit kerja sah selain Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen.

Beliau berkata, SSM mengeluarkan tujuh notis terhadap peniaga kerana kesalahan gagal mempamerkan nama dan nombor pendaftaran syarikat pada resit yang dikeluarkan kepada pelanggan, gagal kemukakan butir perubahan perniagaan, sijil perakuan pendaftaran perniagaan tamat tempoh serta gagal mempamerkan sijil perakuan pendaftaran perniagaan.

“Sementara itu DBKL mengeluarkan tiga kompaun kerana kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(b).

“Pemeriksaan KPDNHEP membabitkan alat sukat dan timbang serta tanda harga mendapati semua premis mengikut peraturan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 12:16 PM