Kes rasuah Rosmah dibenarkan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


KES rasuah membabitkan isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menerima rasuah RM5 juta sebagai upah mendapatkan projek sistem solar dibenarkan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Bagaimanapun, tarikh pengurusan kes akan ditetapkan kemudian.

Terdahulu, Ahmad Akram memaklumkan permohonan memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi adalah mengikut Seksyen 417 (1)(e) Kanun Tatacara Jenayah.

Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah tidak membantah permohonan pihak pendakwaan itu.

Pada 10 Mei lalu, Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suatu suapan iaitu wang tunai RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal Mansor.

Wang berkenaan adalah sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan perbuatan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10 Putrajaya pada 20 Disember 2016.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Rosmah sebelum ini didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek sama dan kes itu terlebih dulu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan akan dibicarakan tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 12:13 PM