Nur Anissyah tidak pulang rumah sejak 10 Jun lalu. FOTO Ihsan PDRM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


POLIS mengesan remaja perempuan yang tidak pulang ke rumahnya di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Peringkat 2, Taman Warisan, Lahad Datu sejak 19 hari lalu.

Nur Anissyah Abdullah, 16, keluar dari rumah 9 pagi 10 Jun lalu namun tidak pulang sehingga laporan polis dibuat semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu daripada ibunya yang berusia 35 tahun.

“Menurut pengadu, anaknya meminta kebenaran untuk ke bandar 10 Jun lalu tetapi sehingga kini tidak pulang ke rumah.

“Sebelum ini, pengadu ada menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada satu nombor dan isi kandungan mesej mengatakan, ‘Umi jangan risau, saya OK juga, tuan rumah itu juga maklum jika tidak balik pun tidak apa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nasri berkata, walaupun pengadu menerima mesej terbabit namun disebabkan risau dengan keselamatan anaknya, pengadu membuat laporan untuk makluman polis.

“Siasatan awal mendapati, pengadu menetap bersama suami di Kuala Lumpur dan pada hari kejadian, pengadu pulang ke kampung untuk menyambut hari raya bersama keluarga.

“Gadis terbabit adalah anaknya hasil daripada perkahwinan pertama dan menetap di kampung serta dijaga neneknya,” katanya.

Nasri berkata, pengadu tidak tahu siapa rakan anaknya dan dipercayai keluar dari rumah kerana mengikut rakan sebayanya.

Sehubungan itu, Nasri memohon bantuan daripada orang awam jika ada maklumat berkaitan remaja itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Sarjan Aspalainah Mohd Zain di talian 0111-9019728.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 10:53 AM