PPM mematahkan cubaan menyeludup 7,850 bungkus rokok dalam serbuan di Kampung Desa Bajau Lahad Datu. FOTO Ihsan PPM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 7,850 bungkus rokok dalam satu serbuan di Kampung Desa Bajau, Lahad Datu kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kejadian 8.30 malam itu, sekumpulan lelaki yang terbabit dalam aktiviti itu berjaya meloloskan diri selepas sepasukan Unit Risikan Marin (URM) PPM membuat serbuan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, sekumpulan lelaki dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika anggotanya menjalankan tugas risik dan mencari di kawasan itu.

“Sebaik sepasukan URM menghampiri ke kawasan itu, sekumpulan lelaki itu segera melarikan diri ke kawasan sekitar kampung dan menghilangkan diri.

“Hasil pemeriksaan terdapat beberapa longgokan bungkusan plastik hitam dan didapati berisi pelbagai jenis rokok berjumlah 7,850 bungkus dipercayai tidak bercukai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, rokok itu dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Rokok dianggarkan bernilai RM16,750 itu dipercayai diseludup dari negara jiran.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 9:43 AM